Wednesday, 11 February, 2026
HomeBelanjawan 2026 : PBRSPERLIS CATAT PERTUMBUHAN KDNK 3.3 PERATUS

PERLIS CATAT PERTUMBUHAN KDNK 3.3 PERATUS

Perlis terus menunjukkan pertumbuhan ekonomi sehingga 3.3 peratus apabila mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM6.5 bilion bagi tahun 2024 berbanding RM6.3 bilion pada tahun 2023.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Sektor Perkhidmatan kekal sebagai peneraju ekonomi negeri dengan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus.

Pertumbuhan ini menurutnya, didorong oleh beberapa subsektor utama khususnya subsektor Perkhidmatan Kerajaan, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, subsektor Makanan dan Minuman serta subsektor Penginapan yang terus menunjukkan peningkatan aktiviti ekonomi sepanjang tahun.

“Perkhidmatan menjadi nadi utama ekonomi Perlis dan terus menunjukkan daya tahan yang kukuh,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas yang berlangsung di Kompleks Sri Putra, hari ini.

Sektor Pertanian pula jelasnya, menjadi penyumbang kedua terbesar ekonomi negeri dengan merekodkan pertumbuhan 2.9 peratus di mana pertumbuhan tersebut disokong kuat oleh Subsektor Perikanan yang melonjak 10.5 peratus.

Namun, beliau menjelaskan bahawa subsektor tanaman menguncup 3.1 peratus, sekali gus memperlahankan keseluruhan pertumbuhan sektor berkenaan.

Dalam masa sama, Sektor Pembinaan menunjukkan pengukuhan ketara apabila berkembang 16.9 peratus, didorong oleh peningkatan besar dalam subsektor Kejuruteraan Awam.

“Secara keseluruhannya, ekonomi Negeri Perlis menunjukkan prestasi yang positif dengan asas pertumbuhan yang kukuh. Kestabilan harga, pasaran buruh yang baik serta sumbangan tinggi sektor perkhidmatan mencerminkan ketahanan struktur ekonomi negeri,” ujar beliau.

Bagi tempoh dua tahun akan datang, Kerajaan Negeri jelasnya, akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti sektor utama, di samping pengukuhan infrastruktur dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Semua usaha ini menurutnya, dirangka bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan di bawah Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus stabil dan berdaya tahan.

 

 

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments