Wednesday, 11 February, 2026
HomeBelanjawan 2026 : PBRSMB PERLIS SIFATKAN BAJET 2026 SEBAGAI 'BELANJA TERTINGGI, DEFISIT TERKECIL'

MB PERLIS SIFATKAN BAJET 2026 SEBAGAI ‘BELANJA TERTINGGI, DEFISIT TERKECIL’

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan Belanjawan 2026 Negeri Perlis sebagai ‘belanja tertinggi, defisit terkecil’.

”Kerajaan Negeri memperuntukkan RM359.58 juta bagi tahun 2026, meningkat RM57.20 juta berbanding tahun 2025 sekali gus menjadikan ia belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Perlis,” ujarnya.

Daripada jumlah itu RM244.42 juta (68 peratus) diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM115.16 juta (32 peratus) bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM217.59 juta, merangkumi tiga komponen utama merangkumi Hasil Cukai berjumlah RM44.13 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM50.92 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM122.54 juta bagi tahun 2026 .

Jumlah keseluruhan ini menurut Mohd Shukri, menjadi asas kepada unjuran kemampuan fiskal negeri bagi tahun berkenaan.

“Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat RM94.66 juta atau 77 peratus berbanding tahun 2025,” katanya.

Namun demikian, Perlis masih dijangka berdepan defisit RM26.83 juta pada tahun 2026, satu angka yang disifatkan sebagai terendah dalam tempoh lima tahun ke belakang.

Beliau menjelaskan bahawa belanjawan kali ini disusun berasaskan semangat kepimpinan Islam yang menuntut pemimpin menjadi pelindung dan penjamin kebajikan rakyat.

“Sabda Rasulullah SAW, sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain”, katanya.

Menurutnya, prinsip inilah yang menjadi roh penyediaan Belanjawan 2026 agar Negeri Perlis terus makmur, sejahtera dan diberkati, dengan fokus memudahkan urusan rakyat serta memperkukuh pembangunan negeri.

Menyedari keperluan menambah sumber kewangan negeri, Menteri Besar menegaskan bahawa semua agensi pengutip cukai wajib meningkatkan kecekapan dengan mengatur tugasan secara tersusun, merangka gerak kerja lebih efektif, mengurangkan tunggakan dan memperkasa sistem pemungutan hasil.

Langkah ini katanya, amat penting bagi memastikan sasaran kutipan dapat dicapai, sekali gus mengurangkan beban defisit pada tahun-tahun mendatang.

Beliau membentangkan belanjawan tersebut dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas yang berlangsung di Kompleks Seri Putra, hari ini.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments