Mohd Shukri Ramli mengumumkan tema Belanjawan 2026 Negeri Perlis sebagai ‘Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera’.
Tema ini katanya, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negeri secara holistik, di samping mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menerapkan nilai kebajikan dalam setiap dasar yang dilaksanakan.
Menurutnya lagi, ia sebagai sebuah kesinambungan kepada Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 10 Disember 2024 lalu yang bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’.
Ia juga menggambarkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, seiring dengan hala tuju jangka panjang pembangunan negeri.
“Mengambil prinsip mengutamakan kesejahteraan rakyat, setiap dasar dan program dirangka dengan mengambil kira keperluan sebenar rakyat bagi memastikan kebajikan, akses adil kepada peluang ekonomi, perkhidmatan sosial dan pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas yang berlangsung di Kompleks Seri Putra, hari ini.
