Bencana banjir di Perlis pada hujung November lalu telah menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan rendah di beberapa kawasan, namun usaha pemulihan sedang dipercepat bagi memulihkan operasi loji sepenuhnya.
Menurut sumber, Syarikat Air Perlis (SAP) telah menggerakkan 22 lori yang beroperasi mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan bekalan air bersih tetap sampai kepada penduduk.
Setakat ini, penghantaran air telah dilakukan ke beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Jernih, Lubuk Machang, Masjid Wang Kelian, SK Pauh, Batu Bertangkup, Jabatan Kaji Cuaca, Panggas, Belukar Lenga dan Kampung Tengah Ulu Pauh.
Penghantaran turut dibuat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sekolah-sekolah terlibat serta kediaman pengguna yang mengalami gangguan.
SAP kini menggerakkan sepenuhnya operasi pemulihan selepas insiden banjir yang menjejaskan sistem elektrikal di Loji Rawatan Air Arau (LRA).
Kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan secara intensif, merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan transformer, baik pulih switchgear serta VSD inverter, selain pemeriksaan menyeluruh terhadap pam utama yang telah ditenggelami air.
SAP juga memaklumkan bahawa penghantaran air akan diteruskan secara berjadual sehingga kerja pemulihan selesai dan loji dapat beroperasi semula seperti biasa.
