Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) Perlis 2040 menjadi dokumen penting bagi menentukan hala tuju pembangunan fizikal dan sosioekonomi Negeri Perlis sehingga tahun 2040.
Kajian semula ini dijalankan oleh PLANMalaysia Perlis dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menurut Pengarah PLANMalaysia Perlis, Dr. Mohamad Sabri Ahmad, DRSN Perlis 2040 disediakan bagi memastikan semua potensi, kekuatan dan kelemahan yang ada di negeri ini dirangkumkan dalam satu pelan pembangunan strategik untuk manfaat generasi akan datang.
Beliau menekankan komitmen kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya segala sumber dan potensi yang ada bagi merealisasikan visi Perlis sebagai negeri progresif, sejahtera dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2040.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat dalam program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ bersama pengerusi dan setiausaha Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) baru-baru ini di Dewan Warisan, Kangar.
DRSN Perlis 2040 dirangka dengan arah tujuan yang jelas bagi membawa negeri ini ke arah kemajuan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat.
Ia memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam yang mampan serta berasaskan teknologi bagi menjadikan Perlis sebuah negeri progresif.
Dalam masa yang sama, pelan ini menekankan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melalui pemantapan sektor ekonomi bernilai tinggi sebagai langkah menjadikan negeri ini berpendapatan tinggi.
Aspek kesejahteraan rakyat turut menjadi keutamaan melalui penekanan terhadap kualiti hidup yang aman, makmur dan berdaya tahan bencana.
Kajian ini juga menonjolkan kepentingan perancangan jangka panjang sebagaimana yang digariskan dalam pengajaran Surah Yusuf ayat 47 hingga 49, yang menekankan keperluan strategi dan perancangan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Beberapa indikator utama telah digariskan sebagai sasaran dalam DRSN Perlis 2040 termasuk pertambahan penduduk daripada 296,800 orang kepada 391,347 orang menjelang tahun 2040.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita pula disasarkan untuk meningkat daripada RM6.3 juta kepada RM15.9 juta dalam tempoh yang sama.
Selain itu, perancangan ini juga menyasarkan pengurangan kebergantungan bekalan air terawat dari negeri Kedah daripada 70 peratus kepada 60 peratus menjelang tahun 2040.
Ekonomi negeri pula dijangka beralih daripada tumpuan utama kepada sektor pertanian kepada pembangunan industri pertumbuhan tinggi bernilai tambah.
Pembangunan kawasan sempadan dengan Thailand turut diberi penekanan sebagai hab perdagangan dan pusat pertumbuhan baharu bagi merancakkan ekonomi negeri.
Perlis juga dikenali sebagai negeri yang kecil namun mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Lebih 57 peratus tanah di negeri ini terdiri daripada kawasan pertanian yang menjadi penyumbang utama kepada sekuriti makanan negara.
Melalui pelan ini, kawasan tanah pertanian akan diurus secara mampan sambil memperkenalkan zon industri baharu yang mampu menjana peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi setempat.
Kajian DRSN Perlis 2040 dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif melalui beberapa peringkat penilaian serta perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Ia turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Perlis.
Proses publisiti awam juga dibuka bagi memberi ruang kepada rakyat untuk menyalurkan pandangan serta idea bagi penambahbaikan pelan tersebut.
Dr. Sabri menegaskan bahawa perancangan ini bersifat menyeluruh dan inklusif, di mana semua jabatan serta agensi kerajaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaannya.
Beliau berkata, penglibatan rakyat amat dialu-alukan agar pelan ini benar-benar mencerminkan keperluan serta aspirasi rakyat Perlis.
Melalui pelaksanaan DRSN Perlis 2040, Perlis dijangka muncul sebagai sebuah negeri yang mampan, berdaya saing dan makmur dengan keseimbangan antara pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Perancangan yang rapi ini akan menjadi panduan utama kepada semua agensi kerajaan, pelabur dan masyarakat untuk bergerak dalam satu hala tuju yang sama.
“Segala perancangan hari ini adalah untuk manfaat anak cucu generasi akan datang yang bakal mewarisi negeri ini,” ujar beliau.
