Usaha kerajaan negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk memastikan premis makanan viral menjadi tumpuan orang ramai mendapat sijil halal membuahkan hasil apabila lima daripada enam outlet Mixue di negeri ini berjaya memperoleh Pensijilan Halal Malaysia.
Outlet yang telah lulus pensijilan ialah Mixue Kangar Jaya, Mixue Kuala Perlis, Mixue Taman Putra Utama Kangar, Mixue Pusat Bandar Kangar dan Mixue Arau.
Sementara itu, satu lagi outlet iaitu Mixue Taman Sena masih dalam proses penilaian.
Exco Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Ustaz Azmir Azizan berkata, inisiatif ini merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam menjaga sensitiviti umat Islam serta memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap premis makanan yang menjadi tumpuan ramai.
“Di Perlis, kita berusaha memastikan premis-premis viral yang menjadi perhatian umum tidak terlepas daripada mendapatkan sijil halal.
“Usaha ini penting untuk memberi jaminan bahawa produk dan premis yang digemari masyarakat benar-benar mematuhi piawaian Halalan Toyyiban,” katanya.
Menurut beliau, dengan kerjasama berterusan antara pemilik premis dan agensi berkaitan, lebih banyak perniagaan popular di negeri ini dijangka tampil dengan pensijilan halal rasmi, sekali gus memacu perkembangan industri halal di Perlis.
