Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos nanti dijangka berlangsung dengan penuh warna-warni, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, pertandingan dan persembahan yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Acara utama akan dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan perbarisan dan perarakan di laluan hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar Jaya.
Perarakan itu akan disertai kontinjen daripada jabatan kerajaan, agensi keselamatan, institusi pendidikan, badan beruniform serta persatuan setempat.
Turut memeriahkan acara ialah perarakan aset-aset jabatan dan agensi kerajaan.
Selain perbarisan, orang ramai akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas termasuk deklamasi sajak, persembahan koir patriotik serta acara penutup yang menampilkan persembahan finale dengan tema “Malaysia Madani: Perlis Bestari, Rakyat Disantuni.”
Sambutan kali ini akan menampilkan pertandingan menarik antaranya pertandingan pakaian beragam bertemakan Hari Kebangsaan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak daripada masyarakat pelbagai lapisan.
Bukan itu sahaja, acara sampingan akan turut diadakan termasuk pameran agensi kerajaan, gerai jualan, sukan rakyat serta aktiviti cabutan bertuah bagi memberi nilai tambah kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga.
Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri ini akan diadakan di Dataran IPK Perlis dan dibuka kepada orang ramai sepanjang hari dengan jangkaan ribuan kehadiran pengunjung.
Penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan menghayati erti kemerdekaan, malah menjadi wadah memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan kekitaan dalam kalangan rakyat negeri Perlis.
