Wednesday, 11 February, 2026
HomeUmumJANGAN JADIKAN KELEMAHAN ORANG SEBAGAI EJEKAN, TOLAK BULI - RAJA MUDA PERLIS

JANGAN JADIKAN KELEMAHAN ORANG SEBAGAI EJEKAN, TOLAK BULI – RAJA MUDA PERLIS

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa budaya buli tidak boleh diterima kerana ia hanya membawa kesan buruk kepada mangsa dan masyarakat.

Baginda bertitah, jangan sesekali menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan ejekan ataupun hiburan kerana tindakan itu mampu menyakitkan hati serta melemahkan keyakinan diri seseorang.

Sebaliknya, baginda menyeru agar masyarakat menabur kata-kata semangat yang dapat menyuburkan keyakinan serta menyokong perkembangan positif individu.

“Dengan menolak budaya buli serta membudayakan sikap hormat dan empati, kita dapat mewujudkan suasana yang penuh keharmonian, selamat dan sejahtera untuk semua,” titah baginda ketika berangkat ke Majlis Santapan Negeri sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-65 di Dewan 2020, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir, YAB Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin.

Dalam majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan cenderamata kepada 16 ketua kontinjen, selain sijil penghargaan kepada penaja yang telah menjayakan kejohanan tahun ini.

Baginda turut menzahirkan harapan agar kejohanan tersebut bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga wadah untuk mengeratkan silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan dan melahirkan bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri.

Kejohanan Olahraga MSSM 2025 berlangsung dari 18 hingga 25 Ogos di Stadium Tuanku Syed Putra dengan penyertaan lebih 1,440 atlet dan 320 pegawai daripada 16 kontinjen seluruh negara.

Antara negeri yang mengambil bahagian ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah serta tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments