Dewan 2020, Kangar, Perlis semalam menjadi saksi berlangsungnya Majlis Santapan Negeri sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 tahun 2025 yang penuh meriah dan berprestij.
Majlis yang dianjurkan sempena kejohanan berprestij peringkat kebangsaan itu menghimpunkan seramai 1,055 atlet dari seluruh negara yang hadir mewakili negeri masing-masing dalam acara olahraga.
Kehadiran atlet muda yang begitu ramai sekali gus memperlihatkan semangat kesukanan dan persaingan sihat yang terus subur dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.
Majlis pada malam tersebut berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan kehadiran para tetamu yang diraikan sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu dan komitmen yang diberikan terhadap pembangunan sukan sekolah di Malaysia.
Penganjuran majlis santapan ini turut menjadi tanda penghargaan Kerajaan Negeri Perlis kepada kontinjen dari seluruh negeri, pegawai pengiring serta para penaja yang banyak memberi sumbangan dalam menjayakan kejohanan pada kali ini.
Dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan para atlet muda ini, semoga kejohanan kali ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah mampu melahirkan jaguh olahraga yang bakal mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.
