Kerajaan Negeri Perlis menegaskan komitmen penuh dalam membanteras aktiviti perjudian haram termasuk perjudian dalam talian yang semakin berleluasa.
Usaha ini dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa dan disokong masyarakat setempat.
Exco Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, “Susulan penutupan premis-premis perjudian di seluruh negeri pada awal tahun ini, tumpuan kini diberikan kepada ancaman judi maya yang turut memerlukan kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.”
“Masyarakat perlu bekerjasama dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram kepada pihak berkuasa.
“Insya-Allah, tindakan pantas akan diambil,” katanya ketika membentangkan isu tersebut dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 pada 6 Ogos 2025 yang lepas.
Berdasarkan rekod, tahun 2024 menyaksikan 192 tangkapan dengan nilai rampasan RM20,551 berkaitan kes judi haram.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 100 tangkapan dilakukan dengan nilai rampasan RM15,157.
Beliau menegaskan, usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk wakil rakyat, agensi kerajaan, dan komuniti setempat bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta ekonomi negeri terus berkembang.
