ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling menegaskan bahawa keberkesanan sistem parkir di Perlis bukan semata-mata tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya turut memerlukan kerjasama dan perubahan sikap daripada rakyat.
Beliau berkata, “Rakyat perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan yang disediakan, termasuk memastikan bayaran parkir dibuat secara beretika.”
“Indera Kayangan ingin menekankan bahawa keberkesanan sistem parkir ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sahaja.
“Rakyat juga perlu memainkan peranan penting,” katanya.
Menurutnya, rekod lama menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan bayaran parkir walaupun kemudahan sudah disediakan dengan baik.
“Sikap sebegini perlu diubah.
“Kita perlu sedar bahawa bayaran parkir bukan satu beban, tetapi satu bentuk sumbangan kepada pembangunan kawasan perbandaran,” katanya lagi.
Tambahnya, tiada sistem yang akan berjaya sekiranya mentaliti rakyat kekal sambil lewa terhadap tanggungjawab bersama.
“Tanpa kesedaran sendiri, apapun sistem yang diperkenalkan tidak akan berkesan.
“Sebab itu perubahan mentaliti sangat penting dalam menjayakan usaha ini,” tegasnya.
Gan Ay Ling menyeru agar rakyat Perlis melihat isu parkir bukan sekadar soal tempat letak kereta, tetapi sebagai cerminan kepada disiplin sivik dan kerjasama sosial dalam membina persekitaran bandar yang lebih teratur dan berdaya saing.
Beliau menyebut perkara ini dalam Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis semalam.
