Syarikat Air Perlis (SAP) akhirnya berjaya mencatat keuntungan berjumlah RM1 juta pada tahun 2024 setelah sekian lama syarikat pengendali bekalan air terawat Perlis tersebut mengalami kerugian.
Perkara tersebut diumumkan oleh EXCO Infrastruktur Negeri, YB Izizam Ibrahim dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Ke-3, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, tengah hari tadi.
Keuntungan tersebut berjaya dicatat selepas kerja keras pihak SAP dan kerajaan negeri untuk melakukan pelarasan hutang lapuk, program ‘We Care’ yang pernah diumumkan oleh YAB Menteri Besar suatu masa dahulu, serta dengan menyegerakan pembaikan masalah kebocoran.
Menurutnya, kos operasi SAP meningkat setiap tahun, dengan nilai RM44 juta pada 2021, RM46 juta pada 2022, RM49 juta pada 2023 dan RM50 juta pada 2024.
Arah aliran kerugian SAP juga menurun sejak Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perlis apabila ia mencatat kerugian RM9 juta pada 2021 dengan hasil berjumlah RM35 juta, rugi RM 6 juta pada 2022 dengan hasil RM40 juta, rugi RM5 juta pada 2023 dengan hasil RM44 juta.
Tambah beliau, antara punca utama kenaikan kos operasi SAP datangnya dari ‘Non-Revenue Water’ (NRW) atau bahasa yang lebih mudah difahami sebagai ‘ayaq yang dok hilang’.
“Pada ketika ini, Negeri Perlis berdepan satu masalah besar yang telah lama tertangguh, lebih 62 % air terawat yang diagihkan tidak menghasilkan sebarang pendapatan kepada negeri,” ujarnya.
“Daripada 100 liter air yang dihasilkan, hanya 38 liter air sahaja yang sampai di meter pengguna, selebihnya hilang kot jalan.
Menurutnya kadar NRW 62 peratus tersebut adalah yang tertinggi di Malaysia.
Air yang hilang tersebut dikenal pasti berpunca daripada tiga faktor iaitu kebocoran, sistem rangkaian paip lama yang berusia lebih 40 tahun dan kelemahan pemantauan.
“Tarif air di perlis tidak pernah disemak selama 30 tahun meskipun kos rawatan, tenaga dan penjagaan meningkat setiap tahun, sementara negeri lain telah beberapa kali melaraskan tarif untuk meningkatkan operasi yang lebih mampan,” tambah beliau.
