Kerajaan Negeri Perlis terus memperhebat usaha menarik penglibatan belia dalam sektor pertanian melalui pelaksanaan pelbagai program dan bantuan khusus yang diselaraskan oleh jabatan serta agensi berkaitan.
Sehingga kini, seramai 3,378 orang belia di Perlis dikenal pasti terlibat dalam bidang pertanian, sekali gus membuktikan keperluan mendesak untuk memastikan kesinambungan pengeluaran makanan serta daya tahan sektor itu di peringkat negeri.
EXCO Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuklah Geran Agropreneur Muda (GAM), bantuan dalam bentuk peralatan, input pertanian dan sokongan infrastruktur kepada belia berumur 18 hingga 43 tahun.
“Jumlah bantuan adalah sebanyak RM30,000 secara one-off dan RM50,000 untuk peningkatan kemahiran, tertakluk kepada tempoh tiga tahun selepas bantuan pertama,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Megat Hashirat Hassan, ADUN Pauh berhubung jumlah belia yang terlibat dalam sektor pertanian serta usaha kerajaan negeri dalam merancakkan penglibatan generasi muda.
Razali turut memaklumkan bahawa Program Pembangunan Belia Tani antara langkah tambahan yang sedang digerakkan, dengan tumpuan kepada penyediaan dana, latihan serta bimbingan teknikal yang komprehensif.
“Sebanyak 15 jenis sokongan teknikal dan jaringan pertanian disediakan di bawah program ini.
“Ia bukan sahaja bertujuan mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian, malah membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan pembangunan pertanian yang memberi keutamaan kepada petani muda, khususnya dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka.
Peruntukan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan industri padi, penyelenggaraan jalan ladang, perataan tanah sawah, penggunaan mesin dalam penanaman, sistem pengairan moden, bimbingan teknikal, teknologi fertigasi serta sokongan kepada penghasilan produk hiliran.
“Dalam subsektor tanaman makanan ternakan pula, penglibatan belia semakin ketara menerusi penanaman jagung bijian dan napier yang kini dimonopoli oleh golongan muda.
“Kebanyakan pengusaha ternakan juga menjalankan tanaman ini sebagai strategi menjimatkan kos makanan ternakan yang kian meningkat,” jelas beliau.
Kerajaan negeri yakin, gabungan insentif strategik dan sokongan berterusan mampu menjadikan sektor pertanian sebagai medan kerjaya yang kompetitif dan lestari untuk generasi muda Perlis.
