Sebanyak 227 ekar sawah padi yang sering dilanda banjir di kawasan Simpang Empat berjaya diselamatkan melalui projek pembinaan stesen pam elektrik bernilai RM650,000 oleh kerajaan negeri.
Projek yang siap sepenuhnya pada 21 Mac lalu itu memberi kelegaan kepada hampir 250 pesawah di Kampung Bendang Baru, Tok Pulau, Chantek Bangun dan Bongor Kudong yang selama hampir sedekad bergelut dengan masalah sawah tenggelam setiap kali hujan lebat.
Stesen pam tersebut berperanan mempercepatkan proses pengaliran air hujan keluar dari kawasan bendang, sekali gus menyelamatkan tanaman padi daripada rosak serta mengelakkan kerugian berulang.
EXCO Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, masalah banjir yang sekian lama membelenggu kawasan berkenaan akhirnya dapat diselesaikan selepas pelaksanaan projek itu.
“Alhamdulillah, kita berjaya selesaikan masalah banjir yang telah timbul sejak bertahun-tahun lamanya, dan tahun ini kita akhirnya dapat siapkan rumah pam seperti yang diharapkan,” katanya ketika meninjau lokasi semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek itu dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh kontraktor.
Katanya lagi, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM650,000 sebagai usaha langsung membantu para petani menangani cabaran dalam sektor pertanian.
Untuk rekod, pada September tahun lalu, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kira-kira 6,000 hektar sawah padi di Kedah dan Perlis ditenggelami banjir, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM40 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 20 hektar kawasan sawah di Wilayah Satu Perlis turut direkodkan terjejas.
Mengulas lanjut, Razali Saad berkata dua lagi stesen pam elektrik akan dibina di Guar Sanji dalam masa terdekat sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah sawah tenggelam di negeri ini.
