YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa bersama mahasiswa Perlis dalam satu sesi santai yang diadakan di sebuah premis makan di Bangi, Selangor petang semalam.
Pertemuan tersebut menghimpunkan mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Anak Perlis UKM dan USIM.
Turut hadir, Exco Pendidikan Negeri Perlis, Ustaz Azmir Azizan yang bersama-sama berbincang secara santai mengenai isu-isu pendidikan dan kebajikan pelajar.
Dalam ucapannya, beliau menekankan komitmen kerajaan negeri dalam membina insan daripada peringkat sekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Beliau turut berkongsi hasrat dan halatuju Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), sebuah inisiatif pendidikan negeri yang diilhamkan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan potensi pelajar melalui program motivasi, pengukuhan sahsiah, serta pendedahan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan STEM, selari dengan slogan “Perlis Bestari, Berkat Lestari”.
“Mahasiswa juga perlu ambil peranan dalam menjayakan program ini.
“Kita mahu anak-anak muda Perlis menjadi agen pengaruh positif kepada adik-adik mereka di sekolah.
“Pendidikan itu mampu merubah sesebuah kehidupan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, YAB Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk melihat lebih ramai anak Perlis kembali berkhidmat di negeri sendiri.
“Kerajaan negeri menggalakkan mahasiswa untuk berhijrah terlebih dahulu, belajar di luar, bekerja dan kumpul pengalaman.
“Tapi dihujungnya, kembalilah dan bawa balik segala kepakaran itu untuk bangunkan negeri kita bersama-sama,” katanya.
Majlis turut disertai oleh Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs), Tuan Hamizi yang menyampaikan sumbangan kepada mahasiswa sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak Perlis di perantauan.
Pertemuan santai ini mencerminkan kesungguhan kepimpinan negeri dalam mendengar suara mahasiswa serta memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan golongan pelajar.
