Friday, 14 November, 2025
HomeUmumMB SOKONG 'MISI' BANGUNKAN EKONOMI DIGITAL ANAK MUDA PERLIS

MB SOKONG ‘MISI’ BANGUNKAN EKONOMI DIGITAL ANAK MUDA PERLIS

YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif MISI yang diterajui oleh anak muda kelahiran Perlis, Encik Ahmad Faiz, yang hadir dalam satu sesi kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar semalam.

Ahmad Faiz, pengasas MISI, bertekad membangunkan sebuah ekosistem ekonomi digital yang merangkumi sektor perkhidmatan, makanan, pelancongan, penginapan dan pembangunan komuniti, dengan matlamat ingin membuka peluang pekerjaan dan merancakkan kembali ekonomi Negeri Perlis.

“Saya amat menyokong semangat anak muda seperti beliau yang mempunyai halatuju jelas untuk menaikkan nama negeri.

“MISI adalah satu langkah progresif yang wajar kita sokong,” ujar YAB Mohd Shukri.

Beliau turut menzahirkan harapan agar MISI menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif anak muda yang berani kembali ke negeri sendiri untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Ahmad Faiz dalam pertemuan itu berkongsi kisah peribadi beliau yang membuat keputusan untuk kembali menetap di Perlis secara bersendirian demi membina kembali tanah kelahiran.

“Waktu saya tekad pulang ke Perlis seorang diri, saya cakap dekat isteri: ‘Abang akan duduk lama di Perlis.’

Isteri tanya, ‘Abang nak buat macam mana sorang-sorang?’

Saya jawab, ‘Abang kembali sorang, tapi di Perlis semuanya dah tersedia. Allah akan satukan semuanya menjadi mudah. Insya-Allah.’”

Tambah beliau, kehadirannya ke Perlis tidak pernah terasa asing kerana masyarakat setempat sentiasa menyambut baik kehadiran serta usaha yang dibawa.

“MISI bukan sekadar projek perniagaan.

“Ia adalah wadah untuk mencipta peluang, membina komuniti dan menyuntik inspirasi buat anak muda Perlis.”

Ahmad Faiz juga mendedahkan bahawa MISI bukan terhenti kepada perkhidmatan penghantaran (delivery) sahaja, bahkan kini berkembang kepada pembangunan keseluruhan ekosistem ekonomi Negeri Perlis.

“Inisiatif ini meliputi pelbagai bidang seperti pelancongan, homestay, hotel, perniagaan makanan, perkhidmatan dan juga pembangunan visual.

“Saya kini sedang bekerjasama dengan filmmaker anak Perlis untuk menghasilkan shortfilm yang menggambarkan lanskap sebenar kebangkitan Negeri Indera Kayangan,” jelasnya.

MISI kini menjadi simbol semangat baharu anak muda Perlis dalam kembali membina dan menyemarakkan potensi negeri dengan penuh wawasan.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments