Prof. Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat, ilmuwan tersohor kelahiran Tanah Merah, Kelantan, telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 1447H atas sumbangan besar beliau dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di negara ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Auditorium Pulapen, Pusat Koreksional Perlis.
Beliau lahir pada 28 April 1952 di Kampung Paloh Bukit Panau, menerima pendidikan awal di Bukit Panau dan Nilam Puri sebelum melanjutkan pengajian hingga ke peringkat PhD di Universiti Imam Muhammad Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi pada tahun 1994.
Tokoh yang berusia 72 tahun ini memiliki pengalaman kerjaya yang luas, antaranya sebagai Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan kini sebagai Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kelantan.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara dan menjawat pelbagai peranan penting seperti Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (2007–2023), Ahli Panel Kajian Akidah JAKIM serta Ahli Jawatankuasa Pembangunan Islam Negeri Kelantan.
Sebagai penerima utama, beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.
Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Anugerah Maal Hijrah turut diberikan kepada Raja Dato’ Azwane Raja Ariff, anak kelahiran Kelantan yang banyak menabur bakti di Perlis menerusi kepimpinan beliau dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Lembaga Pengarah UniMAP.
Beliau menerima RM5,000, plak dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Jaaizah Maal Hijrah disampaikan kepada Dr. Ir. Ts. Mohmad Asari Daud, anak jati Arau yang kini merupakan Naib Presiden International Water Association (IWA) serta ahli Lembaga Pengarah IWA di United Kingdom.
Beliau menerima wang tunai RM2,500, plak dan sijil penghargaan atas pengiktirafan antarabangsa dalam bidang kejuruteraan air.
Majlis Maal Hijrah tahun ini bertemakan Membangun Ummah Madani Bestari, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri memperkukuh nilai-nilai Islam serta menyemarakkan semangat hijrah dalam masyarakat.
Sebanyak 31 anugerah turut disampaikan kepada penerima dalam pelbagai kategori seperti Anugerah Khas Maal Hijrah, Anugerah Pengurusan Hal Ehwal Islam, Anugerah Didik Maal Hijrah dan Anugerah Masjid Terbaik.
Dalam ucapannya, Menteri Besar menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membina masyarakat yang berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
