Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri Perlis, Razali Saad menyeru lebih ramai anak muda tampil menyertai sektor pertanian bagi menyokong agenda keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kebun Hj Din di Kampung Tunjung, Beseri, di mana beliau turut berpeluang menikmati hasil durian tempatan bersama pengusaha kebun.
Menurut Razali Saad, pertanian merupakan antara sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negeri Perlis, namun statistik menunjukkan penyertaan dalam sektor ini masih dikuasai oleh golongan warga emas.
“Kebanyakan yang mengusahakan kebun ini ialah warga emas yang sudah bersara dan mencari cara untuk mengisi masa lapang.
“Sebab itu hampir keseluruhan peratusan penyertaan adalah daripada mereka,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bentuk sokongan dan dana untuk menggalakkan penyertaan generasi muda, namun masih ramai yang belum mengambil peluang yang disediakan.
“Kita ada banyak program termasuklah Projek Khas Komuniti: Satu Kariah Satu Tanaman, tapi masih ada kawasan yang belum dipenuhi.
“Kita sedang mencari pemuda-pemuda yang berminat untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa usaha menjayakan keterjaminan makanan memerlukan penglibatan generasi muda sebagai pelapis dan penggerak utama pertanian moden dan berdaya saing.
“Saya mohon kepada pihak media untuk membantu kerajaan war-warkan peluang ini supaya anak muda lebih peka dan berani mencuba.
“Ini peluang untuk jana pendapatan dan bantu negeri,” ujarnya.
Lawatan itu turut memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk terus mendekati pengusaha pertanian di peringkat akar umbi serta memahami keperluan semasa yang dihadapi oleh pemain industri tempatan.
