YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mematahkan cubaan penyeludupan dadah bernilai hampir RM2.3 juta sebagai satu pencapaian besar dalam usaha mengekang ancaman narkotik di sempadan negara.
“Saya rasa rampasan ini adalah satu kejayaan yang amat besar.
“Kita tak mahu dadah ini terlepas masuk ke dalam negara dan negeri kita, lalu menyebabkan anak muda kita terjebak dengannya,” tegas beliau.
Semasa ditemu bual dalam Sidang Media YAB MB Perlis pada 26 Jun 2025 baru baru ini, Mohd Shukri turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak kastam dan semua agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan, sambil menyeru agar usaha penguatkuasaan ini dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Kalau boleh, kita sifarkan terus kemasukan dadah dalam negara kita,” tambah beliau.
Rampasan besar itu melibatkan ganja seberat 22.855 kilogram bernilai RM2.285 juta, ditemui di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di kawasan bebas cukai antara pintu sempadan Malaysia-Thailand.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 40 bungkusan plastik lut sinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah yang disorokkan dalam plastik hitam serta dua buah beg galas.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi ‘tinggal dan ambil’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, JKDM turut menggagalkan tiga kes penyeludupan daun ketum melibatkan rampasan sebanyak 1.975 tan metrik dengan nilai melebihi RM108,000.
Turut dirampas dalam tindakan berasingan ialah dua buah kenderaan tanpa permit import bernilai RM130,000 serta 3,040 batang rokok tidak bercukai bernilai lebih RM2,000 di sekitar Padang Besar.
Menurut JKDM, kesemua rampasan tersebut disiasat mengikut undang-undang sedia ada dan tindakan susulan sedang dijalankan.
