Wednesday, 11 February, 2026
HomeUmumMAJLIS APRESIASI JUBLI PERAK: KERAJAAN NEGERI RAIKAN PETUGAS DI SEBALIK TABIR

MAJLIS APRESIASI JUBLI PERAK: KERAJAAN NEGERI RAIKAN PETUGAS DI SEBALIK TABIR

Majlis Makan Malam Apresiasi sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020 yang berlangsung pada Selasa malam, 24 Jun 2025 baru-baru ini, telah diadakan khusus bagi menghargai seluruh petugas yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan bersejarah itu.

YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menegaskan bahawa kejayaan 25 tahun pemerintahan baginda diraikan bukan sahaja untuk memuliakan institusi diraja, tetapi juga untuk menzahirkan penghargaan kepada barisan pentadbir, pegawai, sukarelawan dan krew belakang tabir yang tidak pernah mengenal erti penat siang dan malam.

“Majlis malam ini adalah tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada tuan-tuan dan puan-puan semua yang berhempas-pulas memastikan setiap detik sambutan berjalan lancar,” kata beliau dalam ucapannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Rahimi Ismail, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja, bersama 17 jawatankuasa kecil yang menyelaraskan perancangan daripada penyediaan skrol persilaan sehinggalah mengurus delegasi diraja ke seluruh negara dan ke Brunei Darussalam.

Majlis bertemakan Gold and Glitter itu turut diserikan keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis, DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, DYTM Tuanku Raja Muda, DYTM Tuanku Raja Puan Muda serta kerabat diraja, sebagai penghormatan langsung kepada para petugas.

Walaupun Majlis Santapan Diraja selaku acara kemuncak telah berlangsung pada 17 April lalu di Istana Arau, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa “bahang kejayaan” masih terasa hasil kesepaduan semua pihak, sekali gus membuktikan kemampuan Perlis menganjurkan program bertaraf kebangsaan.

“Semangat kerja berpasukan inilah yang akan memacu kita memartabatkan Negeri Perlis ke tahap lebih tinggi,” ujarnya mengakhiri ucapan.

Dengan tumpuan utama pada penghargaan kepada petugas, majlis pada malam itu menutup tirai Sambutan Jubli Perak dengan penuh gemilang, sekaligus mengukir kenangan manis di antara mereka.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments