Wednesday, 11 February, 2026
HomeUmumMASIH ADA SEGELINTIR PEGAWAI MPK BERSIKAP LITTLE NAPOLEON - RAJA PERLIS

MASIH ADA SEGELINTIR PEGAWAI MPK BERSIKAP LITTLE NAPOLEON – RAJA PERLIS

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan teguran tegas terhadap budaya birokrasi dan sikap segelintir pegawai Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang disifatkan sebagai ‘Little Napoleon’.

Baginda bertitah, kewujudan budaya ini bukan sahaja menyukarkan urusan rakyat, malah telah menjejaskan nama baik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurut baginda, MPK bukanlah tidak bagus dalam melaksanakan tugas, namun selagi wujud pegawai yang bersikap sedemikian, kecekapan dan reputasi MPK akan terus tercalar.

Baginda turut mengakui pernah sendiri terkesan dengan kerenah birokrasi yang wujud dalam pentadbiran MPK.

Titah baginda, cadangan menjenamakan MPK kepada MP Perlis pernah dikemukakan bagi melambangkan skop kerja yang meliputi seluruh negeri.

Namun, usaha menukar nama tidak memberi makna sekiranya sikap pegawai dan kakitangan masih berada dalam takuk lama.

“Beta melihat banyak perkara yang patut diubahsuai dalam MPK, tetapi tiada beza jika dijenamakan semula pun perangai tidak berubah,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan bahawa teguran yang pernah dizahirkan pada hari keputeraan baginda yang lalu turut merujuk kepada segelintir pegawai MPK.

“Bukan saya nak marah MPK, tidak, tapi beberapa pegawai yang terlibat dalam MPK, MPK menjalankan tugas bagus, tetapi masih ada lagi little napoleon yang masih berkuasa di dalam itu yang memburukkan nama MPK” titah baginda.

Baginda menekankan pentingnya perubahan cara berfikir dalam kalangan pegawai dan kakitangan demi kemajuan negeri.

Titahnya, sudah tiba masanya MPK meninggalkan ‘mindset’ lama dan beralih kepada pendekatan yang lebih mesra rakyat.

Setiap hari rakyat berurusan dengan MPK, justeru sikap pegawai terhadap mereka menjadi cerminan sebenar kepada wajah pentadbiran.

“Yang mustahaknya ialah layanan kepada rakyat.

Perkataan mesra mestilah ada dalam fikiran setiap pekerja MP Kangar.”

Titah tersebut disampaikan semasa Majlis Pecah Tanah Wisma MPKangar yang berlangsung di Persiaran Wawasan, Kangar pada pagi Selasa, 24 Jun 2025.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis itu turut dihadiri YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Yang Dipertua MPKangar, Tuan Haji Affendi Rajini Kanth.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments