Kerajaan Negeri Perlis menghargai sumbangan besar media tempatan dalam membantu mempromosikan sektor pelancongan sehingga memberi kesan positif kepada ekonomi negeri dan sambutan kempen Tahun Melawat Perlis.
Exco Penerangan dan Digital Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, “Media berperanan sebagai barisan hadapan yang menyampaikan maklumat tepat dan menarik kepada orang ramai, sekaligus mengubah persepsi terhadap Perlis sebagai destinasi pelancongan.”
“Orang selalu tanya, ada apa di Perlis?”
“Kebiasaannya, mereka lebih cenderung ke Langkawi atau tempat-tempat lain yang lebih popular.
“Tapi hari ini, Alhamdulillah, hasil kerja kuat semua pihak termasuk media, kita lihat orang ramai semakin memberi sokongan kepada Tahun Melawat Perlis,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sasaran pelancong seramai 2.5 juta orang pada tahun 2024 telah berjaya dicapai, dan kerajaan kini meletakkan sasaran baharu untuk tahun 2025 memandangkan kempen Tahun Melawat Perlis dilanjutkan sehingga tahun hadapan.
“Semua gerak kerja ini perlu diteruskan.”
“Media adalah frontliner kita. Kita nak pastikan tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama menyemarakkan ekonomi dan menyokong kebangkitan ekonomi rakyat setempat,” jelasnya lagi.
Asrul turut merakamkan ucapan syabas kepada Persatuan Wartawan Perlis atas dedikasi berterusan dalam membantu memacu keharmonian rakyat dan menjadi tunjang kepada pembangunan intelektual negara.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Tengah Hari Bersama Persatuan Wartawan Perlis sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang diadakan di Restoran Suri, pada Khamis, 29 Mei 2025 lalu.
Turut diraikan dalam majlis itu ialah Saudara Badruddin Ramli yang akan berpindah ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah bermula 1 Jun ini.
“Semoga majlis ini menjadi pemangkin kepada semangat kasih sayang dan kebersamaan dalam mempertingkatkan prestasi kerja serta ikatan kekeluargaan antara kita,” katanya mengakhiri ucapan.