Jerih payah guru dalam mendidik anak bangsa untuk mengenal Allah dan mengikut syariat Islam pastilah mempunyai nilai yang tinggi di akhirat kelak.
Menurut YAB Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis berkata guru-guru PASTI wajib ada saham pahala atas usaha mendidik anak bangsa dengan didikan agama, membaca al-Quran, menghafal doa serta didikan pekerti mulia.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat PASTI Negeri Perlis Tahun 2025 pada 24 Mei 2025 lalu di Kompleks PAS Perlis.
Beliau yang juga merupakan seorang bekas guru berkata masyarakat amat menghargai peranan guru-guru PASTI yang mendidik anak-anak mereka dengan ikhlas dan penuh sabar.
“Menjadi guru PASTI pasti akan ada cabaran, sehingga musuh mula nampak takut dengan jati diri anak PASTI yang berpegang teguh dengan ajaran Islam,” katanya.
Tambah beliau lagi, anak-anak yang dididik dengan kefahaman Islam yang sebenar akan mencorak suasana kepimpinan negara masa hadapan dengan lebih baik.
Dalam majlis tersebut juga turut disampaikan Anugerah Guru Inovatif PASTI Negeri Perlis kepada Cikgu Najeha Ismail dari PASTI Imtiyaz, Padang Besar dan Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Perlis kepada Cikgu Rossitah Othman dari PASTI Wardatul Jannah, Arau.
Selain itu, 42 orang pendidik menerima Anugerah Guru Komited atas komitmen menamatkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak PASTI Malaysia.
Turut hadir dalam majlis tersebut YB Haziq Asyraf Dun, ADUN Beseri.