Kerajaan Negeri Perlis terus komited meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelancaran sistem baharu ECOMPS oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis.
Majlis pelancaran sistem aduan tersebut disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Mei) Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 23 Mei 2025 lalu.
ECOMPS atau Electronic Complaint Management and Processing System direka khas bagi memudahkan orang awam mengemukakan aduan berkaitan infrastruktur, kemudahan awam dan perkhidmatan JKR secara lebih sistematik dan pantas.
“Menurut kenyataan JKR Perlis, sistem ini membolehkan maklumat aduan disalurkan terus kepada unit bertanggungjawab, sekali gus mempercepatkan proses penyiasatan dan tindakan pembaikan.”
“Pelaksanaan ECOMPS selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh budaya tadbir urus yang cekap, responsif dan berorientasikan rakyat,” tambahnya.
YAB Menteri Besar dalam ucapannya menyifatkan ECOMPS sebagai satu anjakan ke hadapan dalam usaha memperkemas saluran komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menangani isu berbangkit di peringkat akar umbi.
“Sistem ini telah mula diuji secara dalaman sejak awal tahun ini dan menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan tempoh maklum balas serta menambah baik dokumentasi aduan secara digital.”
Dengan pelancaran rasmi ini, rakyat Perlis kini mempunyai akses lebih mudah dan telus untuk menyuarakan sebarang permasalahan melibatkan kemudahan awam, seiring dengan matlamat membina Perlis yang lebih mampan dan sejahtera.