Monday, 16 June, 2025
HomeUmumPROJEK KHAS BANTU TINGKATKAN EKONOMI RAKYAT

PROJEK KHAS BANTU TINGKATKAN EKONOMI RAKYAT

Kerajaan Negeri Perlis komited mempergiat usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan khas yang menyasarkan kelompok komuniti berpendapatan rendah.

YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025 oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta.

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dalam kalangan komuniti dan petani bagi menjamin sekuriti makanan dan pendapatan rakyat,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Negeri, pada hari Jumaat, 23 Mei 2025.

Antara program utama ialah Projek Khas Komuniti: 1 Kariah 1 Tanaman yang mendorong penduduk setempat mengusahakan tanaman bagi keperluan sendiri dan penjanaan pendapatan.

Ia terbuka kepada semua ahli kariah dan komuniti dengan permohonan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan sokongan minima 10 peserta.

Peserta yang terpilih akan menerima bantuan dari segi pembinaan struktur pertanian moden seperti sistem fertigasi meja, pengairan lengkap dan input pertanian yang berkaitan.

Selain itu, kerjasama Jabatan Pertanian dengan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) turut membangunkan tanah terbiar milik agensi kerajaan bagi tujuan pertanian oleh golongan B40 dan asnaf.

“Usaha ini diharap dapat mewujudkan komuniti belia yang aktif dalam sektor pertanian serta menjana hasil secara sistematik dan selamat, termasuk melalui kaedah hidroponik dan tanaman berpara,” ujar beliau.

Dengan pelaksanaan projek-projek ini, Perlis bukan sahaja memperkukuh sekuriti makanan, malah meletakkan pertanian sebagai teras penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments