“Perlis mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi utama pelancongan berasaskan sukan (sport-tourism) dan pertanian (agro-tourism)”, kata YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Menurut beliau, keunikan negeri ini dari segi produk makanan, keindahan alam semula jadi, geografi yang sesuai untuk aktiviti lasak dan lokasi membeli-belah memberi kelebihan besar dalam menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Katanya, fokus kepada sport-tourism dan agro-tourism akan menjadi antara strategi utama Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaan Tahun Melawat Perlis.
“Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong pada tahun 2025.
Sehingga April ini, kita telah mencatatkan 860,000 kehadiran pelancong,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di Kompleks Pentadbiran Negeri, hari Jumaat, 23 Mei 2025.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan sambungan kempen Tahun Melawat Perlis sehingga tahun 2026, selari dengan Tahun Melawat Malaysia, dengan penekanan kepada penambahbaikan lokasi sedia ada, pengenalan destinasi baharu serta kolaborasi dengan pemain industri.
Sementara itu, Festival PERMAI 2025 yang berlangsung baru-baru ini dari 2 hingga 4 Mei turut menjadi pemangkin kepada agro-tourism apabila ia menghimpunkan lebih 100 usahawan tani dan menarik kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung.
Festival tersebut, yang menggabungkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harumanis, menjadi bukti kemampuan sektor pertanian negeri ini dalam menarik minat pelancong, selain melonjakkan jenama Harumanis Perlis ke peringkat lebih tinggi.