Pelaksanaan dasar baharu yang dibawa oleh Kerajaan Perikatan Nasional Perlis seperti Perlisku Bestari Berkat Lestari, Rancangan Struktur Negeri Perlis, dan Pelan Pembangunan Negeri telah membawa hasil yang baik.
Data terbaharu menunjukkan penurunan ketara jumlah rakyat miskin di Perlis, menggambarkan hasil positif dasar pembangunan negeri yang dilaksanakan secara berfasa dan menyeluruh.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, “Jumlah individu miskin di negeri itu telah menurun daripada 15,114 orang pada Januari 2025 kepada 11,820 orang pada bulan Mei, manakala miskin tegar telah mencapai sifar sejak September tahun lalu.”
“Kerajaan negeri berharap penurunan ini akan berterusan agar gaya hidup rakyat terus berada pada tahap yang memberangsangkan,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di Istana Arau, pada Sabtu, 17 Mei 2025.
Katanya lagi, kerajaan akan terus menggiatkan program-program sokongan dengan sokongan geran daripada kerajaan persekutuan dan negeri bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar serta memberi impak yang lestari.
Salah satu program utama ialah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, yang meletakkan Perlis di tangga kedua tertinggi selepas Sabah dari segi penyertaan, dengan 669 peserta melibatkan keluasan tanah 706 ekar.
Melalui program ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penanaman cili fertigasi dan jagung manis, dengan pemantauan bulanan untuk menjamin keberkesanan pelaksanaan dan hasil pertanian.
Sebelum mengakhiri ucapan, Menteri Besar turut merafak sembah tahniah sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Dalam pada itu, beliau juga turut menyampaikan ucapan tahniah kepada penerima pingat dan gelaran dalam majlis tersebut.
“Sesungguhnya penganugerahan ini perlu disyukuri dan dijadikan sebagai satu motivasi buat semua untuk menjadi insan yang terus berjasa buat tanah air dan menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah yang penuh ketaqwaan,” ujar beliau.