Monday, 16 June, 2025
HomePentadbiranKOMPLEKS SERI PUTRA NAMA BAHARU BAGI KOMPLEKS DUN PERLIS

KOMPLEKS SERI PUTRA NAMA BAHARU BAGI KOMPLEKS DUN PERLIS

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini berkenan memasyhurkan nama baharu bagi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sebagai Kompleks Seri Putra, dalam satu istiadat penuh adat sempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-82.

Titah pemasyhuran disempurnakan oleh Baginda dalam Majlis Jamuan Teh Rakyat yang berlangsung di Dataran Kompleks DUN, di hadapan lebih 2,000 hadirin merangkumi ketua-ketua jabatan, pemimpin komuniti serta rakyat jelata dari seluruh negeri.

Kompleks tersebut yang mula digunakan pada tahun 2008 telah menyaksikan sebanyak 50 sesi persidangan Dewan berlangsung, menandakan peranannya yang penting sebagai pusat demokrasi dan penggubalan dasar negeri.

YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam ucapannya menjelaskan bahawa cadangan nama baharu telah bermula sejak tahun lalu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Jubli Perak.

Sebanyak 10 nama disenarai pendek sebelum dipersembahkan kepada DYMM Tuanku untuk mendapat perkenan.

Daripada dua nama terakhir yang diperkenankan, Kompleks Seri Putra akhirnya dipilih dan dimasyhurkan secara rasmi hari ini sebagai simbol keteguhan institusi, kematangan demokrasi serta kesinambungan pemerintahan Raja Berperlembagaan di negeri ini.

Kompleks empat tingkat yang terletak di pinggir Bandar Kangar ini turut menempatkan Dewan Undangan Negeri, bilik-bilik mesyuarat serta Pejabat Menteri Besar, Pejabat YB Speaker DUN dan Pejabat Urus Setia Penerangan Negeri Perlis.

Dengan pemasyhuran ini, Kompleks Seri Putra dijangka terus menjadi ikon pentadbiran dan rujukan utama dalam landskap politik serta sistem pemerintahan negeri Perlis.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments