“Kini telah tiba masa rakyat Perlis menerima stesen bas yang lebih sempurna,” ujar Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika mengulas isu Terminal Perlis Sentral.
“Perlis Sentral ini berada di tengah, berdekatan Kangar Jaya yang baru naik dan memudahkan masyarakat dari Arau, Kuala Perlis disamping berdekatan dengan lebuhraya,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media usai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) dan Perlis Sentral Sdn. Bhd. yang berlangsung pada hari Jumaat, 9 Mei 2025, di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Pulau Pinang,
Dengan termetrai MoU tersebut, Perlis Sentral Sdn. Bhd. secara rasmi dilantik sebagai pengendali Kompleks Terminal Pengangkutan Awam Negeri Perlis.
Terminal baharu bernilai RM20 juta itu dibangunkan melalui peruntukan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan menggantikan Terminal Bas Bukit Lagi secara berperingkat.
MPKangar sebelum ini diberi tanggungjawab menguruskan operasi terminal berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari 2024.
Susulan itu, MPKangar membuka permohonan cadangan (RFP) pada 31 Julai dan menerima tujuh tawaran daripada pelbagai pihak.
Perlis Sentral Sdn. Bhd. dipilih berdasarkan pengalaman luas dalam sektor pengangkutan awam negara.
Terminal ini dilengkapi kemudahan moden termasuk sistem tiket atas talian, pembayaran tanpa tunai, tiga platform pelepasan dan ketibaan bas, parkir khas untuk bas, teksi dan kereta sewa, tempat letak kereta awam, surau, tandas serta lot perniagaan.
Kerjasama ini dijangka dapat mempertingkat kecekapan sistem pengangkutan awam di Perlis serta menyumbang kepada kempen Tahun Melawat Perlis 2024–2025.