Warisan permainan tradisional Melayu terus mendapat tempat di hati rakyat apabila Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kayang menganjurkan Pertandingan Wau Terbuka DUN Kayang 2025 yang bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Mei 2025 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di Dataran Kangar Jaya.
Pertandingan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik ini dianjurkan secara terbuka kepada semua peminat wau di Perlis. Dengan bayaran penyertaan hanya RM10 bagi setiap wau, peserta berpeluang merebut hadiah utama bernilai RM1000 bagi tempat pertama (Johan).
Naib johan akan membawa pulang RM600, tempat ketiga RM500, keempat RM300, kelima RM200 dan keenam RM100. Bukan itu sahaja, peserta yang menduduki tempat ke-7 hingga ke-10 akan menerima wang tunai RM50, manakala tempat ke-11 hingga ke-20 menerima hamper dan tempat ke-21 hingga ke-30 membawa pulang beras sebagai saguhati.
Program ini juga bertujuan memperkukuhkan silaturrahim dalam komuniti selain memupuk semangat cintakan budaya tradisional di kalangan generasi muda.