Monday, 16 June, 2025
HomeUmumPERLIS HARAM PENJUALAN VAPE MULAI 1 OGOS

PERLIS HARAM PENJUALAN VAPE MULAI 1 OGOS

Perlis bakal mengharamkan sepenuhnya penjualan vape atau rokok elektronik di seluruh negeri berkuat kuasa 1 Ogos depan, menjadikannya antara negeri yang mengambil langkah tegas terhadap ancaman itu.

Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, keputusan tersebut dibuat berdasarkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah mengharamkan penggunaan vape sejak 2022.

Katanya, larangan ini juga dibuat berikutan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja, yang kini dilihat sebagai satu bentuk ancaman baharu kepada masyarakat.

“Walaupun kita tidak dapat menghentikan penggunaan vape sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita ambil langkah untuk menyelamatkan anak-anak muda kita,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, dua kes berkaitan penggunaan vape dalam kalangan pelajar dilaporkan di negeri ini.

Pada November lalu, seorang pelajar tingkatan dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape.

Manakala pada April, seorang pelajar tingkatan tiga pula diserang sawan selepas dipercayai menggunakan vape di tandas sekolah.

Perlis kini menyertai langkah yang telah diambil oleh Johor sejak 2016 sebagai negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya, disusuli Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Mohd Shukri turut menyeru semua peniaga vape di negeri ini agar bersiap sedia mencari sumber pendapatan baharu memandangkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak akan mengeluarkan sebarang lesen perniagaan bagi penjualan vape selepas 1 Ogos nanti.

“Dianggarkan kurang daripada 50 pengusaha vape yang masih beroperasi di Perlis ketika ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan mengambil langkah sewajarnya dalam menangani isu penjualan vape secara dalam talian yang sukar dikawal.

Sumber: Utusan

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments