1. Menggunakan Sistem Parkir Berpalang, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) kini menyasarkan hasil parkir melebihi RM80,000 sebulan tanpa menggunakan sesen pun duit MPK atau kerajaan. Setahun dianggarkan boleh mencapai lebih RM1 juta.
2. Sejarah kutipan parkir MPK bermula sejak saya menjadi Ahli Majlis penggal pertama pada tahun 2007, di mana ketika itu sistem parkir menggunakan mesin syiling. Namun MPK gagal mendapat bayaran kerana berlaku konflik antara operator dan MPK. Sehingga tamat konsesi, MPK tidak menerima sebarang hasil. Difahamkan terdapat unsur sabotaj ketika itu.
3. Selepas itu, sistem kupon pula digunakan, tetapi masih gagal menjana pendapatan optimum kerana berlakunya pemalsuan kupon dan pengguna yang tidak menggunakan kupon langsung. MPK kekurangan tenaga penguat kuasa, dan hasilnya seperti yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar – MPK rugi RM2.4 juta dalam tempoh tiga tahun, tidak termasuk kerugian semasa era mesin syiling.
4. MPK telah belajar daripada pengalaman lalu. Kini, penggunaan sistem palang dan baylock adalah pilihan paling sesuai. Pengguna diwajibkan membayar sebelum keluar dari lot parkir. Contohnya di Arked Padang Besar, sistem ini menunjukkan hasil yang baik kepada MPK.
5. Buat masa ini, kaedah pembayaran boleh yang boleh digunakan ialah melalui aplikasi, QR dan DuitNow. Bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada perkara tersebut, boleh ke ejen yang mempunyai aplikasi dan bayar kepada mereka untuk keluar. Kad kredit, debit dan TNG belum digunakan pada peringkat awal kerana kos tambahan dan halangan teknikal seperti caj minimum oleh pihak bank.
6. MPK juga sedang bergerak ke arah sistem tanpa tunai dan digital sepenuhnya. Touch kad di palang sudah tidak digunakan lagi.
7. Realiti Beban Kewangan MPK
Setiap perjalanan operasi MPK adalah diaudit dan dibentang kepada pengurusan tertinggi. Fokus utama belanja adalah untuk rakyat. Wang dijana juga perlu membiayai semua urusan berkaitan dengan rakyat.
8. Urusan biayaan gaji dan kebajikan lebih 260 anggota dan pegawai MPK ditanggung oleh sendiri oleh MPK untuk memastikan segala operasi organisasi berjalan lancar. Demi kemajuan dan penambahbaikan sesebuah negeri , maka segala usaha ke arah kemajuan negeri perlu dipertahankan.
Seruan Kepada Rakyat Perlis
Saya menyeru seluruh rakyat Perlis, atau pemastautin yang berjiwa Perlis, agar bersama membantu kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Cikgu Shukri dan Tuan YDP MPK menjayakan sistem parkir ini.
Bayaran RM1 atau RM2 untuk parkir tidak akan menjadikan tuan-tuan miskin. Sebaliknya, ia satu bentuk sumbangan kepada negeri. Mari kita bantu Perlis untuk terus maju.
Artikel ditulis oleh:
Pramoot A/L Puan
Ahli Majlis,
Majlis Perbandaran Kangar
Penafian : Penulisan beliau tidak mewakili MPK