Kerajaan Negeri Perlis menggariskan tiga kaedah utama dalam usaha memperkasakan sektor pertanian negeri bagi tahun 2025, sekali gus mengangkat sektor ini sebagai pemacu ekonomi masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Pengumuman penting itu disampaikan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam Majlis Perasmian Festival PERMAI 2025 yang berlangsung pada malam Sabtu bertempat di Dataran bersebelahan Kompleks DUN.
Menurut beliau, kaedah pertama yang diberi tumpuan adalah dengan mempertingkatkan produktiviti pertanian melalui pelaksanaan teknologi moden berteraskan Revolusi Industri 4.0.
Pendekatan ini, ujar beliau, bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran tetapi turut menjamin keselamatan makanan serta menggalakkan amalan pertanian mampan.
Antara projek baharu yang diketengahkan di bawah kaedah ini termasuklah tanaman avocado sebagai tanaman bernilai tinggi, penghasilan cendawan tiram menggunakan kontena yang lebih cekap dan menjimatkan ruang, serta integrasi ternakan lebah kelulut di ladang kelapa yang mampu menjana pendapatan berganda kepada pengusaha.
Untuk melaksanakan kesemua inisiatif ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8.73 juta khusus untuk pembangunan sektor pertanian tahun ini.
Seterusnya, kaedah kedua pula menumpukan kepada pengiktirafan terhadap komuniti yang terlibat secara langsung dalam sektor makanan negara, khususnya komuniti nelayan, penternak akuakultur dan usahawan Industri Asas Tani (IAT).
Menyedari peranan besar yang dimainkan oleh kumpulan ini, kerajaan negeri akan mempergiat usaha mempromosi projek serta produk makanan yang dihasilkan melalui bantuan dan kerjasama agensi-agensi kerajaan.
Dalam masa yang sama, komuniti ini juga digalakkan untuk menyumbang idea, tenaga dan sokongan kewangan demi memperkukuh industri perikanan negeri.
Tambahan pula, kerajaan turut berhasrat melahirkan lebih ramai agropreneur muda dengan pendekatan baharu yang bersifat moden, inovatif serta berasaskan teknologi, sekali gus menukar pemikiran lama kepada satu paradigma pertanian masa depan yang lebih progresif.
Manakala kaedah ketiga memberi fokus kepada penyediaan insentif menyeluruh dan kemudahan sokongan kepada pemain industri terutamanya nelayan.
Dalam hal ini, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penyediaan Kompleks dan Jeti Pendaratan Ikan yang lengkap bagi memudahkan urusan harian nelayan.
Selain itu, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan terus diberikan kepada mereka yang layak, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.32 juta bagi tahun 2024 yang disalurkan kepada seramai 378 orang nelayan di seluruh negeri.
Kerajaan juga menyediakan Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI) sebanyak RM0.10 sekilogram kepada nelayan layak dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM772,452.22 bagi tahun yang sama.
Dalam aspek bahan api pula, sebanyak 15.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM25 juta telah diluluskan, manakala subsidi petrol pula melibatkan 1.7 juta liter dengan nilai melebihi RM2.85 juta, berdasarkan kadar subsidi tetap RM1.65 seliter.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan turut menyediakan Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (TBAKN) yang telah memberi manfaat kepada seramai 121 orang nelayan, melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM129,100.00 pada tahun 2024.
Usaha ini disusuli dengan pelaksanaan Program Touch Point yang memberi sumbangan langsung kepada nelayan, serta penambahbaikan bangunan di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Perikanan (CCDC) yang menelan belanja RM70,000.
Dalam masa sama, kerajaan negeri juga mempergiat Program Pembangunan Usahawan Industri Makanan termasuk penyediaan kursus pengurusan kewangan dan keusahawanan kepada 20 usahawan terpilih di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Tambahan pula, tiga orang usahawan sektor perikanan telah dipilih untuk menyertai Program Ladang Kontrak manakala 60 unit rumah baharu telah siap dibina di bawah Program Perumahan Nelayan, menandakan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan sasar.
Majlis pada malam itu turut menjadi medan penting memperkenalkan penjenamaan semula Festival PERMAI, yang merupakan gabungan dua acara utama iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis.
Sebagai penutup ucapannya, Menteri Besar menyeru rakyat negeri ini agar merebut peluang yang ada sepanjang Festival PERMAI berlangsung dengan melawat booth pameran jabatan, agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan maklumat terkini serta menyokong produk-produk usahawan tempatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta pada tahun 2024 dan jumlah yang sama juga bagi tahun 2025 bagi memastikan kejayaan penganjuran program ini.
“Usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk masa depan Perlis yang lebih makmur dan lestari.
“Dengan semangat kerjasama serta muafakat semua pihak, saya yakin kita mampu mencipta lonjakan besar dalam sektor pertanian dan agromakanan negeri,” katanya lagi.