Kerajaan Negeri Perlis memandang serius insiden kerosakan terhadap kemudahan sistem parkir automatik yang berlaku baru-baru ini, dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak syarikat untuk siasatan lanjut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Asrul Aimran Abdul Jalil berkata, sebarang bentuk kerosakan pada kemudahan awam amat dikesali kerana ia boleh menjejaskan usaha pihak berkuasa tempatan dalam memperkemas sistem pengurusan parkir demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita faham ada pandangan berbeza terhadap pelaksanaan sistem ini, namun tindakan yang melampaui saluran yang betul bukanlah jalan penyelesaian.
“Pendekatan yang berhemah dan saling menghormati undang-undang adalah asas penting dalam masyarakat yang maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri yakin bahawa sistem palang dan bay-lock yang diperkenalkan merupakan satu mekanisme yang baik dan berkesan dalam memastikan pengurusan parkir lebih teratur serta responsif kepada keperluan semasa.
“Sebagaimana dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar minggu lalu, beberapa penyesuaian akan dilaksanakan bagi memperbaiki kelemahan dan menambah baik sistem ini agar ia benar-benar mesra pengguna dan praktikal untuk rakyat,” katanya lagi.
Beliau menambah, pelaksanaan sistem ini selaras dengan hasrat DYMM Tuanku untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang progresif dan menuju ke arah bandar pintar termasuk pelaksanaan pengurusan parkir awam yang efisien.
“Usaha untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan masyarakat akan terus diperhebat melalui sesi dialog dan libat urus bersama komuniti setempat.
“Kita mahu setiap langkah pembangunan ini disokong dan difahami oleh semua lapisan rakyat,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk melihat isu ini secara terbuka dan matang serta mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh merugikan masyarakat keseluruhan.
“Kerajaan negeri amat menghargai setiap pandangan dan sentiasa bersedia mendengar.
“Namun dalam masa sama, kita perlu menolak sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang, kerana ia bukan sahaja menjejaskan harta awam, tetapi juga menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat,” ujarnya.
“Masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan menghormati undang-undang adalah asas kepada keharmonian serta kemajuan negeri Perlis,” katanya lagi.