Friday, 23 May, 2025
HomeUmumKERAJAAN NEGERI KOMITED PELIHARA WARISAN GUA, TANGGUH PROJEK UNTUK SEMAKAN

KERAJAAN NEGERI KOMITED PELIHARA WARISAN GUA, TANGGUH PROJEK UNTUK SEMAKAN

Kerajaan Negeri Perlis menangguhkan sementara projek membina kafe oleh pihak swasta di Gua Cenderawasih bagi memberi ruang kepada penelitian terhadap peraturan berkaitan status geopark dan pandangan daripada pihak berkaitan, termasuk badan-badan seperti UNESCO.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, penangguhan itu bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan demi memastikan sebarang pembangunan yang dirancang mengambil kira pelbagai aspek perundangan dan konservasi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, di sini semalam.

Beliau berkata, projek yang dimaksudkan hanya melibatkan struktur binaan sementara di bahagian luar gua dan dilakukan oleh penyewa tapak yang sah, bukan struktur kekal seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Tambah beliau, pembangunan yang dirancang juga bertujuan untuk menghentikan aktiviti tidak bermoral yang telah lama menjadi masalah di kawasan tersebut.

“Memang banyak masalah gejala sosial yang berlaku di kawasan gua itu, antaranya kegiatan vandalisme dan dadah.”

Jadi kita bangunkan kawasan itu supaya ada fungsi dan tidak terbiar,” katanya.

Mengulas isu kerja mengecat dinding gua, beliau menjelaskan tindakan itu dilakukan oleh penyewa menggunakan cat kapur semata-mata untuk menutup perkataan kesat akibat vandalisme.

“Jka tidak berbuat demikian, kafe yang akan dibuka di dalam gua itu akan dihiasi dengan perkataan yang tidak sepatutnya sekaligus mencerminkan budaya orang Perlis yang tidak manis.

“Jadi penyewa guna cat kapur sahaja, di mana ianya mudah dicuci.” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha pembangunan di gua berkenaan bukan semata-mata projek komersial, tetapi juga langkah untuk mengelakkan kawasan tersebut terus dicemari aktiviti yang boleh merosakkan imej dan keselamatan awam.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah mengadakan sesi perbincangan bersama beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan sebarang projek di lokasi itu tidak menjejaskan ciri semula jadi gua dan ekosistem sekitarnya.

“Setakat ini, kita tangguhkan dahulu sehingga kita menerima keputusan dan pandangan rasmi daripada pihak geopark,” katanya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments