Sistem parkir palang atau Smart Parking yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan membantu negeri mengatasi kerugian mencecah RM2.4 juta seperti mana yang dialami oleh pihak berkuasa tempatan itu sejak tiga tahun lalu.
Menurut Majlis Perbandaran Kangar (MPK), kerugian tersebut berpunca daripada penggunaan sistem parkir lama yang berasaskan kupon, di mana pihak berkuasa mengalami kegagalan mengutip kompaun serta menghadapi kos pentadbiran yang tinggi.
Sepanjang tempoh dari tahun 2022 hingga 2024, MPK mencatatkan kerugian penjualan kupon sebanyak RM1,640,552.00, manakala tunggakan kutipan kompaun dari tahun 2022 hingga 2025 pula dianggarkan berjumlah RM637,941.00.
Kos pentadbiran bagi menguruskan kompaun sepanjang tempoh tersebut pula dianggarkan hampir RM180,000.00, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM2.4 juta.
Sehubungan itu, sistem parkir palang diperkenalkan sebagai langkah pembaharuan bagi menambah baik pengurusan parkir dan menjamin hasil yang lebih stabil untuk negeri.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan sistem ini dengan pertimbangan untuk sentiasa menambah baik sistem ini kerana ia terbukti membawa manfaat dari segi kutipan hasil dan pengurusan yang lebih sistematik.
“Saya nasihatkan rakyat Perlis, terimalah pembaharuan ini.
“Kami pun tidak buat sesuatu yang boleh merugikan rakyat.
“Kalau ada kelemahan, kita perbaiki. Mudah-mudahan ia jadi satu kemudahan untuk seluruh rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis tengah hari tadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa sistem Smart Parking yang masih dalam tempoh percubaan itu dijangka menjana kutipan melebihi RM1 juta setahun, dan ia akan terus diperluaskan menggunakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad debit dan Touch ‘n Go.
Setakat ini, daripada keseluruhan 8,000 lot parkir yang terdapat di bawah seliaan MPK, sebanyak 6,000 lot telah mula dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau menyeru agar rakyat Perlis bersabar dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk terus menambah baik sistem tersebut demi kemudahan bersama.