Lebih 25,000 penonton terpukau dengan aksi mendebarkan Sarjan Muhammad Akmal Shaari yang melompat motosikal melepasi 25 buah kereta dalam persembahan Tatu Angkatan Tentera Darat Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra pada hari Ahad, 27 April 2025.
Aksi berani itu menjadi simbolik kepada sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut berangkat menyaksikan persembahan itu ialah Tuanku Syed Sirajuddin bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan isteri juga tidak melepaskan peluang untuk hadir menyaksikan acara yang berprestij itu.
Acara dimulakan dengan gimik pembukaan sebelum diteruskan dengan persembahan Drumline Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pertunjukan payung terjun oleh anggota 10 Briged Para, aksi tempur tanpa senjata, pertunjukan cawangan serigala, persembahan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kawad patung PDRM, Tim Army Red Warrior dan persembahan orkestra pancaragam.
Tatu ATM itu disempurnakan lagi dengan pertunjukan bunga api yang memeriahkan suasana malam bersejarah tersebut.
Apa yang mengagumkan adalah meskipun hujan renyai membasahi stadium sepanjang acara berlangsung, ia tidak mematahkan semangat penonton yang setia menyaksikan setiap persembahan sehingga ke penghujung.
Terdahulu, sebelah pagi, Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja turut berlangsung di stadium sama sebagai sebahagian daripada sambutan Jubli Perak.
Dalam titah baginda, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru rakyat, terutama penjawat awam dan anggota tentera, untuk terus menanamkan nilai perpaduan, integriti, profesionalisme dan sikap proaktif dalam berkhidmat kepada negara.
Baginda menegaskan, budaya mementingkan diri dan berpeluk tubuh perlu dikikis demi memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara.
“Saya merupakan antara Raja Melayu yang terawal menerima pendidikan ketenteraan secara formal dan berkhidmat sebagai anggota tentera.
“Pengalaman itu memberi kesedaran dan semangat kepada saya untuk memastikan negara terus maju, aman dan berdaulat,” titah baginda.
Sumber: Utusan Malaysia