Friday, 23 May, 2025
HomeUmumPERLIS NYATA HASRAT HARAMKAN PENJUALAN ROKOK ELEKTRONIK

PERLIS NYATA HASRAT HARAMKAN PENJUALAN ROKOK ELEKTRONIK

Kerajaan Negeri Perlis menyatakan hasrat untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri sebagai langkah tegas memerangi penyalahgunaan bahan terlarang yang semakin membimbangkan.

Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam sidang Dewan Undangan Negeri semalam, keputusan itu selaras dengan saranan Ketua Polis Negara yang menyifatkan vape sebagai antara punca kepada penyalahgunaan dadah.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berpeluk tubuh melihat gejala ini terus menular, malah akan mengambil langkah proaktif demi membendung kerosakan yang lebih besar dalam kalangan masyarakat.

“Majlis Fatwa Negeri Perlis telah lama mengharamkan penggunaan vape.

“Jadi tak perlu lagi ada yang di kalangan kita duk hisap benda yang dah jatuh hukum haram,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sesuatu yang telah difatwakan haram jika tetap digunakan, membawa kepada dosa dan kerosakan diri, terutama dalam kalangan anak muda.

Tegas beliau, walaupun pengharaman sepenuhnya mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah secara total, namun ia adalah permulaan penting ke arah penyelesaian jangka panjang.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat supaya bukan sahaja menjauhi dadah, tetapi turut meninggalkan amalan merokok yang juga memudaratkan kesihatan dan menyumbang kepada keruntuhan sosial.

“Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya untuk perangi masalah dadah dan vape ini dengan bersungguh-sungguh.

“Kita mahu selesaikan seberapa banyak yang boleh dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam usaha melindungi rakyat daripada ancaman dadah dan bahan terlarang, di samping memelihara kesejahteraan masyarakat dari sudut kesihatan, akhlak dan agama.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments