Sebuah mercu tanda berkonsepkan ‘Taman Syurga’ yang menggambarkan keindahan, ketenangan dan ketinggian martabat institusi diraja telah dirasmikan semalam bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis perasmian yang berlangsung di Padang Besar itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, bersempena 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis ke-7.
Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mercu tanda yang berdiri megah di tengah Bulatan Padang Besar ini menjadi simbol keteguhan pemerintahan Tuanku selama suku abad serta bukti kasih dan keprihatinan berterusan baginda terhadap rakyat dan negeri.
Konsep utama reka bentuk mercu tanda ini ialah ‘Taman Syurga’ dengan puncaknya dihiasi Tengkolok Putra Julang Darjat yang melambangkan Tengkolok Rasmi Diraja Negeri Perlis.
Khat Kufi “Bismillahirrahmanirrahim” turut dipaparkan sebagai lambang permulaan keberkatan, manakala lima penjuru struktur tersebut mewakili rukun Islam sebagai tunjang kehidupan rakyat beragama.
Unsur arca padi pula menggambarkan kekuatan ekonomi negeri, manakala Surah An-Nisa ayat ke-59 yang terukir membawa mesej kepatuhan kepada Allah, Rasul dan ulil amri, sejajar dengan semangat kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.
Keseluruhan struktur turut mengangkat penggunaan tulisan Jawi sebagaimana dasar Kerajaan Negeri, di samping menampilkan sistem pencahayaan teknologi 3D lighting yang pertama di Perlis.
Dalam ucapannya, Menteri Besar Perlis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) serta semua agensi terlibat atas kejayaan cemerlang merealisasikan projek ikonik ini.
Sambutan Jubli Perak ini turut menandakan detik penting dalam sejarah negeri apabila mengenang kembali detik pemasyhuran Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000, menggantikan ayahanda baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Baginda merupakan Raja Perlis pertama yang dilantik selepas penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1948, dan sejak itu menjadi payung negeri yang menaungi kehidupan rakyat dalam pelbagai aspek termasuk agama dan pembangunan.
Malah, kecaknaan baginda terbukti apabila dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12 dari 2001 hingga 2006, suatu penghormatan besar yang menggambarkan kewibawaan baginda di peringkat negara.
Mohd Shukri Ramli turut menzahirkan harapan agar rakyat terus menghayati semangat kesetiaan kepada Raja dan negara, berlandaskan prinsip kedua Rukun Negara, serta bersama-sama memastikan Negeri Perlis terus maju dan harmoni di bawah naungan Tuanku.
“Sambutan Jubli Perak ini bukan sahaja memperingati tempoh pemerintahan, tetapi menjadi lambang kesetiaan dan kasih sayang antara Raja dan rakyat.
“Semoga semangat ini terus subur demi kesejahteraan negeri dan negara,” ujar beliau.