Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Negeri Perlis berjaya mencatat pelaburan sebanyak RM1.8 bilion sepanjang tahun 2024.
Beliau menyatakan hal demikian ketika menjawab soalan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15 yang berlangsung pada Khamis, 24 April 2025 di Kompleks DUN, Kangar.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa pelaburan yang diterima tidak hanya tertumpu kepada pembinaan kilang di kawasan industri seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), tetapi turut melibatkan sektor lain yang berpotensi.
“Ia juga tertumpu kepada penglibatan sektor pertanian, perkhidmatan pelancongan dan banyak lagi. Bukan tertumpu pada CVIA sahaja,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini memperkenalkan satu inisiatif baharu bagi menggalakkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membawa masuk sekurang-kurangnya satu pelaburan di kawasan masing-masing.
“Setiap YB, kita minta bawa masuk satu pelaburan di kawasan masing-masing.
“YB yang belum ada pelaburan haruslah berusaha lebih sedikit, gunakan ‘title’ YB tu untuk mencari pelabur,” tegas beliau.
Menteri Besar Perlis itu turut menyatakan keyakinannya bahawa pendekatan ini akan memberi impak besar kepada ekonomi negeri.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa semua YB untuk bersama-sama membantu mempergiat usaha menarik pelancong ke negeri ini secara bersepadu.