Perlis kini mencatat perubahan ketara dalam sektor pelancongan dan ekonomi, sekali gus memperlihatkan sinar baharu kepada negeri terkecil di Malaysia ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kemasukan 2.99 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada tahun lalu.
Baginda bertitah, “angka tersebut merupakan hasil kejayaan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 serta usaha berterusan dalam membangunkan produk pelancongan yang berkualiti.”
Keadaan ini, titah baginda, bukan sahaja melonjakkan industri pelancongan Perlis, malah turut memberi kesan positif kepada pengusaha makanan dan hospitaliti tempatan.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, pada hari Isnin, 22 April 2024.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selain itu, bagi mengukuhkan lagi daya tarikan pelancongan, kerajaan negeri turut melancarkan kalendar acara pelancongan tahunan yang merangkumi 56 program sepanjang 2024.
Program itu merangkumi pelancongan eko, makanan dan membeli-belah, pelancongan agro, sejarah dan warisan, seni dan budaya, serta sukan dan rekreasi.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang bijak mengambil peluang dengan membina hotel dan inap desa berkonsep unik serta berkualiti tinggi.
Baginda menyeru semua pihak agar terus mematuhi prosedur dan tatacara agar reputasi Perlis sebagai destinasi pelancongan unggul dapat dikekalkan.
Dalam pada itu, baginda turut menyentuh pencapaian ekonomi negeri dengan pembukaan kilang Jabil Circuit Sdn Bhd pada 7 April lalu serta pelancaran Perlis Inland Port (PIP) tahun ini.
Menurut baginda, pembangunan ini bakal menjadikan Perlis sebagai hab pengeksportan kargo darat negara.
Baginda juga optimis bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), projek Sanglang Port akan direalisasikan sekali gus mengukuhkan masa depan ekonomi Perlis secara menyeluruh.