Negeri Perlis melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan rekod Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih sehingga 31 Disember 2024.
Hal ini menjadikan Negeri Perlis antara empat negeri di Malaysia yang mencapai pencapaian tersebut.
Perkara itu dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam Titah Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-15 di Kompleks DUN Perlis hari ini.
Baginda menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara kepimpinan negeri dan pelbagai agensi dalam membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pelbagai inisiatif.
“Pelbagai inisiatif dan geran perniagaan kepada komuniti telah disediakan sebagai jambatan untuk mereka memulakan langkah pertama untuk keluar dari kelompok kemiskinan ini,” titah baginda.
Baginda juga menasihatkan agar usaha membasmi kemiskinan tidak terhenti di sini, sebaliknya diteruskan dengan pendekatan menyeluruh yang tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan semata-mata.
“Beta mohon supaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan Kerajaan Negeri Perlis terus turun padang untuk memastikan golongan miskin tegar ini kekal sifar dan seluruh rakyat negeri Perlis keluar dari kepompong kemiskinan dengan tidak bergantung harap kepada bantuan bulanan kerajaan semata-mata sebaliknya bersama-sama dapat membantu memajukan ekonomi untuk masa hadapan negeri Perlis.”
Selain itu, baginda turut menyeru agensi kerajaan dan NGO untuk mempergiat pencarian peserta yang berminat memulakan perniagaan dan memberi bimbingan sewajarnya agar mereka turut dapat menyumbang kepada kemajuan negeri.