Friday, 23 May, 2025
HomeUmumSAMBUTAN JUBLI PERAK BUKTI KESETIAAN RAKYAT DAN KETEGUHAN SISTEM BERAJA – RAJA...

SAMBUTAN JUBLI PERAK BUKTI KESETIAAN RAKYAT DAN KETEGUHAN SISTEM BERAJA – RAJA PERLIS

Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis bukan sekadar meraikan sejarah pemerintahan baginda, malah menjadi simbol kesetiaan rakyat dan keteguhan institusi beraja yang terus-menerus menjadi tunjang kedaulatan negeri Perlis.

Dalam titah Baginda sempena Majlis Santapan Malam Diraja yang berlangsung di Istana Arau malam tadi, Tuanku menegaskan bahawa sambutan ini adalah lembaran penting dalam sejarah negeri Perlis kerana mencerminkan penghargaan rakyat terhadap sistem beraja serta sokongan padu kepada pemerintahan Baginda.

“Jubli Perak ini akan menjadi lembaran penting dalam sejarah negeri Perlis sebagai saksi kesetiaan rakyat dan keteguhan sistem beraja yang menjadi tunjang kedaulatan negeri di bawah naungan saya,” titah Baginda dengan penuh rasa syukur dan penghargaan.

Baginda turut menyatakan bahawa pada 17 April 2000, genaplah pemasyhuran Baginda sebagai Raja Perlis menggantikan ayahanda Baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang mangkat pada tahun tersebut.

Menurut Baginda, bermula dari detik itu, Baginda bersama DYMM Tuanku Tengku Fauziah telah menaungi negeri Perlis dalam pelbagai aspek termasuk hal ehwal pentadbiran, agama Islam serta pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Perjalanan selama 25 tahun ini adalah suatu tempoh yang panjang, penuh dengan cabaran, pengorbanan dan pelbagai pengalaman berharga,” titah Baginda merujuk kepada amanah yang dilaksanakan dengan penuh kasih dan dedikasi terhadap negeri keputeraan Baginda.

Dalam masa yang sama, Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, termasuk semua agensi terlibat yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan sambutan penuh bermakna ini.

Baginda juga melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan usia dan kesihatan yang membolehkan Baginda menyambut pemerintahan Jubli Perak bersama rakyat.

“Semoga saya terus diberi kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan untuk menjalankan amanah sebagai Raja negeri ini,” titah Baginda dengan penuh rendah hati dan keinsafan.

Majlis Santapan Diraja yang diserikan dengan kehadiran Raja-Raja Melayu, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, para pembesar negara serta kerabat diraja turut mencerminkan penghormatan tinggi terhadap kepimpinan Baginda dan semangat muafakat antara institusi diraja dan rakyat.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments