Friday, 23 May, 2025
HomeUmumMAJLIS SANTAPAN DIRAJA SEBAGAI PEMBUKA SAMBUTAN JUBLI PERAK TUANKU RAJA PERLIS

MAJLIS SANTAPAN DIRAJA SEBAGAI PEMBUKA SAMBUTAN JUBLI PERAK TUANKU RAJA PERLIS

Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Istana Arau malam tadi menjadi simbol pembukaan rasmi kepada Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis.

Majlis berprestij itu diadakan bersempena ulang tahun ke-25 pemerintahan baginda yang mula menaiki takhta pada 17 April 2000, sekali gus menandakan permulaan kepada rangkaian acara sambutan yang akan berlangsung sepanjang tahun.

Suasana majlis malam tadi diserikan dengan keberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis.

Turut berangkat ialah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Kemeriahan majlis turut diperkukuh dengan keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja-Raja Melayu, Permaisuri-Permaisuri dan Yang di-Pertua Negeri.

Selain itu, kehadiran dua Timbalan Perdana Menteri iaitu YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, serta Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli, menzahirkan sokongan padu kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap institusi diraja Perlis.

Majlis Santapan Diraja ini bukan sahaja membuka tirai sambutan Jubli Perak, malah menunjukkan semangat kebersamaan dan penghormatan kepada kepimpinan baginda, serta menjadi permulaan kepada pelbagai program bersejarah untuk rakyat.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments