Kunjungan hormat Konsul Jeneral Jepun, Encik Machida Shinya, ke Pejabat Menteri Besar Perlis hari ini membuka peluang kerjasama dalam aspek promosi pelancongan dan pelaburan negeri.
Dalam pertemuan itu, Encik Machida menyatakan kesediaan untuk membantu memperkenalkan Perlis kepada rakyat Jepun yang masih belum mengenali negeri ini.
Katanya, rakyat Jepun kini hanya lebih mengenali negeri-negeri popular seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, manakala Perlis masih belum mendapat pendedahan sewajarnya.
Sehubungan itu, langkah mempromosikan Perlis bukan sahaja dilihat sebagai usaha memperkasa sektor pelancongan, malah turut membuka ruang kepada pelaburan asing.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut menegaskan bahawa Perlis memiliki banyak produk pelancongan menarik, namun belum dimanfaatkan sepenuhnya dari sudut promosi.
Tambah beliau, sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand, Perlis mempunyai keunikan tersendiri yang wajar diketengahkan ke peringkat global.
Dalam masa yang sama, Perlis turut menawarkan harga tanah yang jauh lebih murah berbanding negeri-negeri lain, sekali gus menarik minat Encik Machida terhadap potensi pelaburan di negeri ini.
Menurut Menteri Besar, antara faktor utama yang menjadi perhatian ialah harga tanah sekitar RM20 sekaki persegi, di mana harga tersebut jauh lebih rendah berbanding di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Keistimewaan ini dilihat mampu meningkatkan daya saing Perlis sebagai destinasi pelaburan baharu yang berpotensi tinggi.
“Saya amat mengalu-alukan sebarang peluang yang dapat dimanfaatkan bersama demi pembangunan negeri tercinta ini.
“Perlis mungkin kecil dari segi saiz, namun kaya dengan nilai, budaya, dan potensi masa hadapan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan selepas pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kangar, hari ini.
Akhir sekali, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus mencari jalan memperkenalkan Perlis ke mata dunia demi pembangunan masa depan.