YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Perlis semalam, beliau menyeru semua lapisan masyarakat untuk menyertai pelbagai acara yang telah dirancang, sebagai tanda kesetiaan dan kebanggaan terhadap pemerintahan Tuanku.
“Saya menyeru agar seluruh rakyat mengibarkan bendera bermula 17 April sebagai tanda hormat dan semangat patriotik kita,” katanya.
“Kita terangilah rumah dan premis di sekitar perlis ini dengan lampu-lampu indah sebagai simbol kesetiaan kepada Tuanku dan kebanggaan kita di atas 25 tahun pemerintahan baginda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan untuk menjaga kebersihan sepanjang sambutan itu berlangsung.
Aktiviti membuang sampah di kawasan premis adalah tidak dibenarkan mulai jam 6.00 pada 16 April sehingga jam 12,00 malam 17 April 2025.
Pihak berkuasa meminta kerjasama rakyat untuk menguruskan sisa domestik dengan berhemah dan memelihara kebersihan persekitaran bersama.
Selain daripada itu, beliau turut menyeru agar seluruh rakyat negeri ini turun menyertai pelbagai acara menarik yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 26 April akan datang.
“Keluarlah beramai-ramai dalam apa pun acara yang akan berlangsung pada 26 hari bulan nanti, antaranya perarakan panji-panji dan pertunjukan khas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Orang ramai juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api yang akan diadakan pada malam tersebut,” tambahnya.