EXCO Kebajikan Negeri Perlis, Datin Marzita Mansor bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan lawatan Ziarah Prihatin ke beberapa lokasi sekitar negeri ini bagi menyantuni individu yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Lawatan yang diadakan pada 9 April lalu bermula pada jam 9.00 pagi di lokasi pertama iaitu Kampung Panggau bagi menziarahi Makcik Chik binti Salleh, 70 tahun.
Rombongan seterusnya meneruskan ziarah ke Taman Merpati untuk melawat Adik Nurul Azwani binti Noor Azmi, balu kepada Allahyarham Mohd Firdaus bin Zulkarnain.
Dalam pada itu, mereka turut menziarahi Makcik Jariah binti Ibrahim di Kampung Batu 2 Lama, Jalan Abi Batas Paip.
Menurut Datin Marzita, lawatan ini bertujuan menilai sendiri keadaan hidup individu yang diziarahi dan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kami berharap usaha ini dapat memberikan sedikit kelegaan dan menyuntik harapan baharu dalam kehidupan mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya dalam memperjuangkan kebajikan rakyat agar tiada golongan yang terpinggir daripada perhatian dan bantuan sewajarnya.
Inisiatif seperti ini jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.