EXCO Kesihatan Negeri Perlis, YB Datin Marzita Mansor, telah mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, pada 10 April lalu bagi meninjau persiapan sempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tinjauan tersebut melibatkan pemeriksaan terhadap kemudahan di Wad DiRaja, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Jantung (CCU), Wad Kelas 1 serta Bilik VIP, sebagai usaha memastikan segala persediaan berada dalam keadaan terbaik.
Menurut YB Datin Marzita, lawatan ini penting bagi memastikan kelancaran sambutan serta tahap kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan negeri berada pada tahap tertinggi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah serta seluruh warga kerja HTF atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Semoga segala usaha yang dijalankan mencerminkan keunggulan perkhidmatan kesihatan di negeri Perlis,” katanya.
Sambutan Jubli Perak ini menandakan 25 tahun pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis dan bakal menjadi salah satu acara bersejarah bagi negeri ini.