Kerajaan Negeri Perlis menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan cemerlang pembangunan sukan di negeri ini sepanjang tahun 2024 yang bukan sahaja mendapat perhatian rakyat tempatan, malah turut diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Perkara ini dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2024 yang berlangsung pada 14 April 2025, sebagai tanda penghargaan kepada atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negeri dalam pelbagai kejohanan sukan sepanjang tahun lalu.
Majlis yang penuh bermakna ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berkenan hadir bagi menyampaikan penghargaan dan menyantuni para atlet serta pegawai-pegawai sukan yang terlibat.
Menteri Besar Perlis turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dalam majlis tersebut bagi meraikan wira dan wirawati sukan Perlis.
“Sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum dan budaya, kita amat berbangga dengan pencapaian sukan yang diraih baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Sukan bukan sahaja menjadi medium mencungkil bakat tetapi juga elemen penting dalam pembangunan masyarakat yang holistik,” ujar beliau dalam ucapannya.
Kerajaan Negeri turut menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem sukan dengan menambah baik infrastruktur serta kemudahan sukan berprestasi tinggi.
Hasil pelaburan ini telah memperlihatkan peningkatan ketara dalam pencapaian atlet Perlis pada kejohanan-kejohanan terdahulu.
Sebagai simbol penghargaan, atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang menerima hadiah khas daripada kerajaan negeri.
Pemberian ini dilihat sebagai insentif untuk terus menyemarakkan semangat atlet dalam mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Dalam majlis yang sama, kerajaan negeri juga merestui hasrat Majlis Sukan Negeri Perlis untuk memperkenalkan Logo Rasmi Baharu yang lebih segar dan sesuai dengan perubahan landskap agensi awam serta citarasa generasi muda masa kini.
Menteri Besar turut mengakui bahawa setiap kejayaan yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi lahir daripada pengorbanan besar, latihan yang berterusan, dan semangat juang yang tinggi oleh para atlet.
Majlis ini sekali gus memperkukuh semangat perpaduan serta menyemai inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk terus bergiat aktif dalam dunia sukan.