Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berlangsung dengan penuh istiadat di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, Perlis pada 11 April 2025, semalam.
Majlis penuh bermakna itu turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, serta DYTM Tuanku Syed Areeb Putra Jamalullail.
Gimik simbolik pecah tanah telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis sebagai tanda bermulanya proses pembinaan masjid yang bakal menjadi mercu tanda baharu di tengah bandar Kangar.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya berkata, “Masjid ini bukan sekadar rumah ibadah tetapi manifestasi iltizam kerajaan negeri dalam menyediakan pusat ibadah dan aktiviti masyarakat yang lengkap dan menyeluruh di kawasan ini.”
Menurut beliau, tujuan utama pembinaan masjid ini adalah untuk menyediakan ruang ibadah yang selesa dan kondusif kepada umat Islam di kawasan ini, di samping menjadi pusat pengajian Islam yang berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Masjid ini akan mengukuhkan lagi peranan sebagai pusat komuniti, menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi melalui aktiviti keusahawanan dan kemasyarakatan berasaskan nilai Islam,” jelas beliau.
Masjid ini juga diharap dapat menjadi contoh unggul dalam seni bina Islam, pentadbiran yang telus dan pengimarahan yang aktif, selaras dengan matlamat menjadikan Perlis sebagai negeri rujukan pengurusan institusi Islam.
Kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), kontraktor, perunding serta komuniti setempat di atas kerjasama erat dalam menjayakan pembinaan masjid ini.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar pembinaan masjid ini dipermudahkan, agar ia menjadi lambang perpaduan, pusat penyebaran ilmu dan tempat menyemai nilai ketakwaan dalam kalangan rakyat negeri,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapannya.